Posted by: aretokearman | Mac 16, 2010

MEMBENA ISTANA SYURGA

Membina Istana Di Syurga

عن عثمان بن عفان يقول، إني سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول: من بنى مسجدا يبتغي به وجه الله، بنى الله له مثله في الجنة.

Daripada Uthman bin`Affan katanya sesungguhnya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membina masjid ikhlas kerana Allah, Allah akan membina untuknya rumah seperti itu di dalam syurga. (al-Bukhari: 439, Muslim: 533)

Setiap orang mengimpikan untuk memiliki kediaman sendiri yang indah dan selesa supaya dia dapat merehatkan diri dan mendapat ketenangan. Bagaimana pun sesetengah orang, disebabkan kemampuan kewangan yang tidak mencukupi tidak dapat memenuhi impiannya. Yang hanya dimiliki adalah tenaga. Membina masjid dalam hadis di atas merangkumi pembinaan dengan modal benda dan modal tenaga manusia. Masing-masing mempunyai peranan dan sumbangan.

Di sini Rasulullah s.a.w. menarik perhatian umatnya supaya melihat ke hadapan yang lebih jauh lagi. Bagaimana sepatutnya setiap mukmin itu memiliki istananya sendiri di dalam syurga. Kekecewaan dengan kehidupan dunia tidak sepatutnya menghalang seseorang berusaha untuk kehidupan akhirat.

Rumah atau istana di syurga tentunya tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana istana di dunia. Keindahan dan kemewahan syurga yang tidak dapat dibayangkan

Hadis ini mengandungi isyarat supaya orang mukmin mengingati negeri asal sendiri. Dari mana kita datang ke situlah kita akan kembali. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. sentiasa menyeru hamba-hamba-Nya kepada kembali ke syurga. Allah s.w.t. berfirman:

وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَى دَارِ السَّلَامِ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia) dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu). (Surah Yunus: 25)

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. menyebutkan tujuan pembinaan masjid. Masjid hendaklah dibina sebagai tanda mengingati Allah, memakmurkannya dengan ibadat dan ketaqwaan bukan untuk berbangga dan bermegah-megah. Sabda baginda:

عن عمر بن الخطاب؛ قَالَ: سمعت رَسُول اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلَّمْ يقول ((من بنى مسجداً يذكر فيه اسم الله، بنى اللَّه له بيتاً في الجنة((.

Daripada Umar bin al-al-Khattab katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membina masjid yang diingati padanya nama Allah, Allah akan binakan untuknya sebuah rumah di dalam syurga. (Ibn Majah, no: 735)

Sebagaimana jumlah tidak menjadi syarat dalam bersedekah begitu juga dalam pembinaan masjid, saiz bukan menjadi ukuran tetapi keikhlasan. Sabda baginda:

عن جابر بْن عَبْد اللّه؛ أن رَسُول اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلَّمْ قال ((من بنى مسجداً لله كمفحص قطاة، أو أصغر، بنى اللَّه له بيتاً في الجنة((.

Daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membina masjid kerana sebesar sarang burung atau lebih kecil lagi, Allah akan binakan untuknya sebuah rumah di dalam syurga. (Ibn Majah, no: 738)

Hadis ini bukan untuk menyatakan saiz sebesar itu bagi masjid kerana ruang sekadar itu tidak boleh untuk bersembahyang di dalamnya. Apa yang ditekankan oleh hadis ini ialah pahala membina masjid tetap sabit walaupun masjid itu kecil, biar sebanyak mana sumbangan kita.

Hadis-hadis di atas juga mengisyaratkan di sebalik pahala sebegitu besar ini adanya peranan institusi masjid dalam sesebuah masyarakat. Oleh kerana itulah, setibanya Rasulullah s.a.w. ke Madinah, baginda merencanakan untuk mendirikan masjid sebagai pusat kegiatan umat Islam. Setelah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar, baginda mengukuhkan lagi ikatan masyarakat baru itu dengan tautan aqidah, syariat dan akhlak. Semua ini terpancar dari roh dan sinar masjid. Persaudaraan bertambah erat dengan pertemuan sesama sendiri sekurang-kurang lima kali sehari tanpa ada pembeza dari segi darjat, keturunan dan kekayaan. Semuanya sama-sama datang sebagai hamba Allah. Mereka berada di peringkat yang sama dalam mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Bermula dari masjid dapat dirancang pelbagai kegiatan keilmuan, perekonomian dan kemasyarakatan.

Selain itu, ada beberapa hadis yang lain menyebutkan amalan-amalan lain yang membolehkan seseorang itu mendapat istana di dalam syurga. Antaranya ialah sembahyang sunat rawatib.

عن أم حبيبة تقول: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول “من صلى اثنتي عشرة ركعة في يوم وليلة، بني له بهن بيت في الجنة“.

Daripada Ummu Habibah katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa bersembahyang 12 rakaat dalam sehari dan semalam, dibina untuknya sebuah rumah di dalam syurga. (Muslim, no: 728)

Dalam riwayat Aishah 12 belas rakaat itu adalah sunat rawatib.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهَا عَنِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: مَنْ ثَابَرَ عَلَى اثْنَتَىْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بَنَى اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُ بَيْتاً فِى الْجَنَّةِ أَرْبَعاً قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ

Daripada `Aishah daripada Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa sentiasa melazimi sembahyang 12 rakaat dalam sehari dan semalam, Allah s.w.t. akan binakan untuknya sebuah rumah di dalam syurga. 4 rakaat sebelum zuhur, 2 rakaat selepas zuhur, 2 rakaat selepas maghrib, 2 rakaat selepas isya’ dan 2 rakaat sebelum subuh. (Riwayat al-Nasai’i no: 1795, al-Tirmizi, no: 414,Ibn Majah, no: 1140)

Amalan lain yang membolehkan kita memperolehi rumah di dalam syurga ialah meninggalkan perbalahan, berdusta dan melazimkan diri dengan akhlak yang mulia.

عن أبي أمامة قال: قال رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم: ” أنا زعيمٌ ببيتٍ في ربض الجنة لمن ترك المراء وإن كان محقّاً، وببيتٍ في وسط الجنة، لمن ترك الكذب وإن كان مازحاً، وببيتٍ في أعلى الجنة لمن حسَّن خلقه“.

Daripada Abi Umamah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Saya menjadi penjamin terhadap rumah di pinggir syurga kepada orang meninggalkan perbalahan walaupun dia yang betul, terhadap rumah di tengah-tengah syurga bagi sesiapa yang meninggalkan berdusta walaupun dalam bergurau senda dan terhadap rumah di bahagian atas syurga bagi sesiapa yang memperelokkan pekertinya. (Abu Daud, no: 4800)  Catatan dari Akhi Qutuz Salahudin

Posted by: aretokearman | Mac 15, 2010

15 ANUGRAH ALLAH KEPADA WANITA TIDAK PADA LELAKI

15 Anugerah Allah pada Wanita tidak pada Lelaki.

1. Pada suatu ketika di Madinah, Rasulullah s.a.w. keluar mengiringi jenazah. Baginda dapati beberapa orang wanita dalam majlis tersebut. lalu Baginda bertanya, “Adakah kamu menyembahyangkan mayat?” Jawab mereka,”Tidak” Sabda Baginda “Seeloknya kamu sekalian tidak perlu ziarah dan tidak ada pahala bagi kamu. Tetapi tinggallah di rumah dan berkhidmatlah kepada suami nescaya pahalanya sama dengan ibadat kaum orang lelaki.

2. Wanita yang memerah susu binatang dengan ‘Bismillah’ akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

3. Wanita yang menguli tepung gandum dengan ‘Bismillah’, Allah akan berkatkan rezekinya.

4. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di Baitullah.

5. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan membinakan 7 parit di antara dirinya dengan api neraka, jarak di antara parit itu ialah sejauh langit dan bumi.”

6. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utas benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat.”

7. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas tahta di hari akhirat.”

8. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan kemudian dibuat pakaian untuk anak-anaknya maka Allah akan mencatit baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian.”

9. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya, menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memerhatikannya.”

10. Sabda Nabi s.a.w. : “Ya Fatimah setiap wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum kepadanya dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Shiratul Mustaqim.”

11. Jika suami mengajarkan atau menerangkan kepada isterinya satu masalah agama atau dunia dia akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

12. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga dan menunggu kedatangan suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

13. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.

14. Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kahwin).

15. Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia menggembirakan kamu, jika engkau memerintahnya ia mentaati perintah tersebut dan jika engkau bermusafir dia menjaga harta engkau dan dirinya. Maksud hadis: Dunia yang paling aku sukai ialah wanita solehah.

Dari tulisan Akhi Qutuz Salahudin

Posted by: aretokearman | Mac 15, 2010

10 JENIS ORANG ISLAM YANG KEJAM

Sufyan Atsauri berkata: “Sepuluh macam daripada kekejaman ialah:

1. Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk anak-anaknya dan kaum mukmin.
2. Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat.
3. Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat.
4. Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.
5. Seorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah.
6. Seorang yang di daerahnya didatangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.
7. Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.
8. Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang.
9. Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.
10. Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makanannya itu.

Posted by: aretokearman | Mac 15, 2010

NASIHAT KEPADA MATA HATI YANG BUTA

KERAJINAN KAMU UNTUK MEMPEROLEHI APA YANG TELAH TERJAMIN UNTUK KAMU DI SAMPING KECUAIAN KAMU TERHADAP KEWAJIPAN YANG DIAMANATKAN MENUNJUKKAN BUTA MATA HATI.

Hikmat 5 ini merupakan lanjutan kepada Hikmat yang lalu. Imam Ibnu Athaillah menceritakan kesan daripada hijab nafsu dan hijab akal yang menutup hati daripada melihat kepada takdir yang menjadi ketentuan Allah s.w.t. Ada tiga perkara yang dikemukakan untuk direnungi:
1: Jaminan Allah s.w.t.
2: Kewajipan hamba
3: Mata hati yang mengenal jaminan Allah s.w.t dan kewajipan hamba.

Penyingkapan rahsia mata hati adalah penting bagi memahami Kalam Hikmat di atas. Mata hati ialah mata bagi hati atau boleh juga dikatakan kebolehan mengenal yang dimiliki oleh hati. Kadang-kadang mata hati ini dipanggil sebagai mata dalam. Istilah ‘mata dalam’ digunakan bagi membezakan istilah ini dengan mata yang zahir, iaitu yang dimiliki oleh diri zahir. Diri zahir terbentuk daripada daging, darah, tulang, sumsum, rambut, kulit dan lain-lain. Diri zahir ini berkebolehan untuk melihat, mendengar, mencium, merasa dan menyentuh. Diri zahir memperolehi kehidupan dari perjalanan darah ke seluruh tubuhnya dan aliran nyawa dalam bentuk wap atau gas yang keluar masuk melalui hidung dan mulut. Jika darahnya dikeringkan atau dibekukan ataupun jika aliran wap yang keluar masuk itu disekat maka diri zahir akan mengalami satu keadaan di mana sekalian bahagiannya terhenti berfungsi dan ia dinamakan mati! Diri zahir ini jika disusun dapatlah dikatakan bahawa ia terdiri daripada tubuh dan nyawa serta deria-deria yang dapat mengenal sesuatu yang zahiriah. Pusat kawalannya ialah otak yang mengawal keberkesanan deria-deria dan juga mencetuskan daya timbang atau akal fikiran.

Diri batin juga mempunyai susunan yang sama seperti diri zahir tetapi dalam keadaan ghaib. Ia juga mempunyai tubuh yang dipanggil kalbu atau hati. Hati yang dimaksudkan bukanlah seketul daging yang berada di dalam tubuh. Ia merupakan hati rohani atau hati seni. Ia bukan kejadian alam kasar, sebab itu ia tidak dapat dikesan oleh pancaindera zahir. Ia termasuk di dalam perkara- perkara ghaib yang diistilahkan sebagai Latifah Rabbaniah atau hal yang menjadi rahsia ketuhanan.

Apabila di dalam keadaan suci bersih ia dapat mendekati Tuhan. Ia juga yang menjadi tilikan Tuhan. Hati seni ini juga memiliki nyawa yang dibahasakan sebagai roh. Roh juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah. Ia adalah urusan Tuhan dan manusia hanya mempunyai sedikit pengetahuan mengenainya.

Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”. ( Ayat 85 : Surah Bani Israil )

Tubuh seni atau hati seni juga mempunyai sifat yang berkemampuan mencetuskan pemahaman dan pengetahuan. Ia dipanggil akal yang juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah yang tidak mampu dihuraikan. Akal jenis ini berguna bagi pengajian tentang ketuhanan. Tubuh zahir mempunyai deria-deria untuk mengenal perkara zahiriah. Deria-deria tersebut dipanggil penglihatan, pendengaran, penciuman, perasaan dan penyentuhan dan alat-alat yang bersangkutan ialah mata, telinga, hidung, lidah, tangan dan lain-lain. Tubuh seni atau diri batin juga mempunyai deria yang mengenal perkara ghaib dan deria ini dinamakan basirah atau mata hati. Ia berbeza daripada sifat melihat yang dimiliki oleh mata zahir. Mata zahir melihat perkara zahir dan mata hati syuhud atau menyaksikan kepada yang ghaib.

Apa yang ada di sekeliling kita boleh dilihat melalui dua aspek iaitu yang nyata dilihat dengan mata zahir dan yang ghaib dilihat dengan mata hati. Jika kita ambil satu buku gula, mata kasar melihat sejenis hablur berwarna keputihan. Bila diletakkan pada lidah terasalah manisnya. Ketika menikmati kemanisan itu kita seolah-olah memandang jauh kepada sesuatu yang tidak ada di hadapan mata. Kelakuan merenung jauh itu sebenarnya adalah terjemahan kepada perbuatan mata hati memandang kepada hakikat gula iaitu manis. Bagaimana rupa manis tidak dapat diceritakan tetapi mata hati yang melihat kepadanya mengenal bahawa gula adalah manis. Jika mata zahir melihat sebilah pedang, maka mata hati akan melihat pada tajamnya. Jika mata zahir melihat kepada lada, mata hati melihat kepada pedasnya. Jadi, mata zahir mengenal dan membezakan rupa yang zahir sementara mata hati mengenal dan membezakan hakikat kepada yang zahir. Mata hati yang hanya berfungsi setakat mengenal manis, tajam, pedas dan yang seumpamanya masih dianggap sebagai mata hati yang buta. Mata hati hanya dianggap celik jika ia mampu melihat urusan ketuhanan di sebalik yang nyata dan yang tidak nyata.

Kekuatan suluhan mata hati bergantung kepada kekuatan hati itu sendiri. Semakin bersih dan suci hati bertambah teranglah mata hati. Jika ia cukup terang ia bukan sahaja mampu melihat kepada yang tersembunyi di sebalik rupa yang zahir di sekeliling kita malah ia mampu melihat atau syuhud apa yang di luar daripada dunia. Dunia adalah segala sesuatu yang berada di dalam bulatan langit yang pertama atau langit dunia atau langit rendah. Langit rendah ini merupakan sempadan dunia. Selepas langit dunia dinamakan Alam Barzakh. Meninggal dunia membawa maksud roh yang rumahnya iaitu jasad telah tidak sesuai lagi didiaminya atau dipanggil sebagai mengalami kematian, dibawa keluar dari langit dunia dan ditempatkan di dalam Alam Barzakh.

Fungsi mata hati ialah melihat yang hakiki. Mata hati yang mampu melihat dunia secara keseluruhan sebagai satu wujud akan mengenali apa yang hakiki tentang dunia itu. Oleh sebab penyaksian mata hati bersifat tidak dapat dinyatakan secara terang maka ia memerlukan ibarat untuk mendatangkan kefahaman. Ibarat yang biasa digunakan bagi menceritakan tentang hakikat dunia ialah: “Dunia adalah seorang perempuan yang sangat tua dan sangat hodoh. Tubuhnya kotor dan berpenyakit, menanah di sana sini dan ada bahagiannya yang sudah dimakan ulat ”. Begitulah lebih kurang perasaan orang yang melihat kepada hakikat dunia dengan mata hatinya. Bagaimana rupa hakikat yang menyebabkan timbul perasaan dan ibarat yang demikian tidak dapat dihuraikan.

Mata hati yang lebih kuat mampu pula menyaksikan Alam Barzakh dan mengenali satu lagi hakikat yang dinamakan keabadian, iaitu sifat hari akhirat. Kematian membinasakan jasad dan kiamat membinasakan alam seluruhnya tetapi tidak membinasakan Roh yang padanya tergantung kitab amalan masing-masing. Ahli maksiat tidak dapat diselamatkan oleh kematian dan kiamat. Ahli taat yang tidak mendapat ganjaran yang setimpal di dunia tidak binasa ketaatannya oleh kematian dan kiamat. Tanggungjawab seseorang hamba akan terus dipikulnya melepasi kematian, Alam Barzakh, kiamat, Padang Mahsyar dan seterusnya menghadapi Pemerintah hari pembalasan. Tanggungjawab itu hanya gugur setelah Hakim Yang Maha Bijaksana dan Maha Adil lagi Maha Mengetahui serta Maha Perkasa menjatuhkan hukuman. Inilah hakikat yang ditemui oleh mata hati yang menyelami Alam Barzakh, bukan melihat roh orang mati di dalam kubur.

Mata hati berfungsi mengenal perkara yang ghaib. Makrifat atau pengenalan kepada keabadian atau hari akhirat akan melahirkan kesungguhan pada menjalankan amanat Allah s.w.t iaitu mengerjakan perintah-perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya. Amanat itu akan terus dibawa oleh para hamba untuk diserahkan kembali kepada Allah s.w.t yang meletakkan amanat tersebut kepada mereka.

Makrifat mata hati yang demikian melahirkan sifat takwa dan beramal salih. Apabila takwa dan amal salih menjadi sifat seorang hamba maka masuklah hamba itu ke dalam jaminan Allah s.w.t.

Dialah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya (untuk menghidupkan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah). ( Ayat 13 : Surah al-Mu’min )

Allah s.w.t berfirman dalam Hadis Qudsi:

Hamba-Ku, taatilah semua perintah-Ku, jangan membeber keperluan kamu.

Allah s.w.t sebagai Tuhan, Tuan atau Majikan tidak sekali-kali mengabaikan tanggungjawab-Nya untuk memberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya sementara hamba-hamba pula berkewajipan mentaati Tuan mereka. Rezeki telah dijamin oleh Allah s.w.t dan untuk mendapatkan rezeki tersebut seseorang hamba hanya perlu bertindak sesuai dengan makamnya. Jika dia seorang ahli asbab maka bekerjalah ke arah rezekinya dan jangan iri hati terhadap rezeki yang dikurniakan kepada orang lain. Jika dia ahli tajrid maka bertawakallah kepada Allah s.w.t dan jangan gusar jika terjadi kelewatan atau kekurangan dalam urusan rezeki. Walau dalam makam manapun seseorang hamba itu berada dia mesti melakukan kewajipan iaitu bersungguh-sungguh mentaati Allah s.w.t dengan mengerjakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Hamba yang terbuka mata hatinya akan percaya dengan yakin terhadap jaminan Allah s.w.t dan tidak mencuaikan kewajipannya. Hamba ini akan melipat-gandakan kegiatan dan kerajinannya untuk bertakwa dan beramal salih tanpa mencurigai jaminan Allah s.w.t tentang rezekinya.

Hamba yang buta mata hatinya akan berbuat yang berlawanan iaitu dia tekun dan rajin di dalam mencari rezeki yang dijamin oleh Allah s.w.t tetapi dia mencuaikan tanggungjawab yang diamanatkan oleh Allah s.w.t. Orang ini akan menggunakan daya usaha yang banyak untuk memperolehi rezeki yang boleh didapati dengan daya usaha yang sederhana tetapi menggunakan daya usaha yang sedikit dengan harapan untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mungkin didapati kecuali dengan daya usaha yang gigih dan perjuangan yang hebat iaitu pahala-pahala bagi amal salih.

Mata hati melihat kepada yang hak dalam keghaiban. Nafsu yang hanya berminat dengan kebendaan yang nyata menutupi yang hak itu dan akal mengadakan hujah untuk menguatkan keraguan yang tumbuh pada nafsu. Perkara ghaib disaksikan dengan keyakinan. Jika nafsu dan akal bersepakat mengadakan keraguan, kebenaran yang ghaib akan terhijab. Orang yang mencari kebenaran tetapi gagal menundukkan nafsu dan akalnya akan berpusing-pusing di tempat yang sama. Keyakinan dan keraguan sentiasa berperang dalam jiwanya.

Tulisan Akhi Qutuz Salahudin

« Newer Posts

Kategori